Hari ini sebanyak tiga kategori akan bertanding bagi peringkat saringan iaitu Bakat Baru (31 regu), Vateran (32 regu) dan Lelaki Terbuka (94 regu).

Menurut Pengurus Teknikal Kejohanan, Mohd. Syaruddin Mohd. Nasir, kategori Bakat Baru diperkenakan bagi pemain-pemain yang tidak pernah bertanding dalam mana-mana kejohanan.

“Kejohanan Sepaktakraw Utusan ini sebuah pertandingan terbuka yang boleh disertai oleh semua peringkat. Justeru kategori Bakat Baru ini memberi peluang kepada mereka yang mahu bertanding.

“Kita mempunyai sistem untuk mengenal pasti mereka yang menyertai kategori ini sememangnya tidak pernah bertanding dalam mana-mana kejohanan,” kata Mohd. Syaruddin.

Mengenai kategori Vateran, menurut Mohd. Syaruddin berkata, walaupun terdapat banyak permohonan pihak teknikal terpaksa menghadkan 32 regu sahaja ini kerana kejohanan kali ini mendapat permohonan yang terlalu dengan 334 regu bersaing.

“Terdapat kekangan masa jadi kita terpaksa menolak permohonan bagi kategori Vateran. Kategori ini banyak disertai oleh bekas-bekas pemain sepaktakraw profesional termasuk yang mewakili negara dan negeri,” kata Mohd. Syaruddin.

Acara separuh akhir bagi semua kategori akan berlangsung esok di Kompleks Sukan Negeri Paroi manakala peringkat akhir akan berlangsung di Quill City Mall di ibu negara Ahad ini. - UTUSAN ONLINE