Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, keputusan pihak kementerian memutuskan untuk memansuhkan peperiksaan pada tahun ini sekali gus mengukuhkan kembali PBD yang mempunyai format pelaporan murid secara berterusan.

“Ibu bapa tidak perlu risau dengan kaedah pemarkahan atau pelaporan prestasi anak mereka apabila peperiksaan dimansuhkan. Ini kerana guru sememangnya sudah didedahkan dengan PBD yang akan menilai perkembangan murid mengikut hari, minggu dan bulan.

“Golongan pendidik juga sudah mengamalkan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) yang telah diperkenalkan di sekolah dengan menekankan pelaksanaan pembelajaran yang berpusatkan kepada murid melalui pendekatan didik dan hibur, pemikiran kreatif, belajar secara berkumpulan, memupuk kerjasama serta kemahiran komunikasi.

“Kaedah ini membantu guru supaya tidak terikat dengan kaedah lama dalam membentuk kemenjadian murid di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat lawatan sempena hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail 1, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ismail Musa dan Guru Besar sekolah itu, Ramnah Darus.

Dalam pada itu, Amin berkata, pihak kementerian memandang serius situasi jumlah bilik darjah yang mempunyai bilangan murid melebihi 40 orang di negara ini.

Katanya, berdasarkan statistik tahun lalu kira-kira 4.6 peratus atau bersamaan 780 bilik darjah tahun satu di negara ini me­ngalami situasi itu dengan Selangor dan Kuala Lumpur menca­tatkan jumlah paling tinggi.