Kementerian dalam satu kenyataan di sini hari ini memberitahu, laporan tersebut didapati berasas namun pada masa sama, pihak penyiasat tidak dapat memperoleh maklumat lanjut daripada majikan dalam isu berkaitan.

“Walau bagaimanapun, tindakan selanjutnya akan diambil di mana pihak Jabatan Tenaga Kerja Sabah akan mendapatkan maklumat daripada syarikat di bawah seliaan untuk tindakan susulan.

“Selain itu, memandangkan penggajian kanak-kanak tersebut melibatkan isu individu tidak berdokumen, isu ini akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Sabah,” katanya.

Semalam, menerusi bahagian pertama Laporan Khas Utusan Malaysia mendedahkan seramai 200,000 buruh kanak-kanak terlibat dalam pelbagai sektor ekonomi di negeri Sabah.

Golongan terbabit turut didakwa berisiko terdedah dengan kemalangan, penyakit, kematian selain menjadi mangsa penderaan seks.

Bahagian akhir laporan tersebut hari ini turut menyatakan kemiskinan serta status kenegaraan menjadi punca utama peningkatan buruh dalam kumpulan usia terbabit. – UTUSAN ONLINE