Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, keperluan membangunkan sebuah universiti pertanian adalah amat penting dalam usaha meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan teknologi baharu seperti yang dilakukan Universiti Chulalongkorn dan Universiti Chiangmai di Thailand. 

Namun begitu, kata Salahuddin, pihaknya akan mengadakan perbincangan secara formal dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) terlebih dahulu memandangkan buat ketika ini UPM dikenali sebagai universiti yang membangunkan industri pertanian. 

“Idea ini perlu diperhalusi sebaiknya dan perbincangan dua hala bersama UPM perlu diadakan apatah lagi UPM juga mempunyai sebuah kampus cawangan yang telah memberi fokus kepada bidang pertanian di Bintulu, Sarawak.

“Kita mempunyai banyak pilihan dan yang paling penting adalah kepada tahap kedudukan kewangan negara. Sekiranya UPM bersetuju kembalikan fokus mereka kepada pertanian, maka itu adalah lebih baik,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Memperkasa Sistem Pengembangan Jabatan Pertanian di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Ser­dang (MAEPS) di Serdang, dekat sini hari ini. 

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Sallehhuddin Hassan. - UTUSAN ONLINE