Menurut Pejabat Menteri Pertahanan, Mohamad hanya memberikan sokongan kepada usaha Dr. Suwaibah untuk menjayakan misinya dan sedia menyokong usaha-usaha baik yang dilakukan sesiapa sahaja.

“Adalah tidak adil kepada mana-mana atlet menuduh sokongan kepada Dr. Suwaibah sebagai berat sebelah sekiranya mereka sendiri tidak pernah cuba untuk bertemu dan mendapatkan sokongan Kementerian Pertahanan dan Menteri Pertahanan,” menurut kenyataan Pejabat Menteri Pertahanan di sini hari ini.

Usaha Dr. Suwaibah mendapatkan sumbangan bagi menjayakan misinya mendapat kritikan kononnya didakwa menerima tajaan Kementerian Pertahanan, dan beberapa pihak menganggap sokongan daripada kementerian itu sebagai berat sebelah.

Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Dr. Suwaibah menjelaskan ramai pihak salah faham apa yang berlaku dan beliau bukannya mendapat tajaan daripada Kementerian Pertahanan.

Jelasnya, gambar menunjukkan beliau menerima replika cek daripada Mohamad sebenarnya adalah sumbangan pihak lain dan secara kebetulan Menteri Pertahanan itu yang merupakan Penaung Misi Keamanan berada dalam majlis sama untuk menyampaikan sumbangan berkenaan.

Kata Dr. Suwaibah, usaha mendapatkan tajaan adalah untuk membiayai misinya selama dua tahun sehingga 2020, dan beliau menghantar kertas cadangan serta permohonan kepada pelbagai pihak dan jumlah RM4 juta itu sekadar anggaran awalnya.

Beliau sebelum ini berkata, dana itu diperlukan bagi menampung kos yang tinggi termasuk penginapan, tiket kapal terbang, permohonan visa serta perkara berkaitan bagi melengkapkan misi tersebut.-UTUSAN ONLINE