Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar bagaimanapun berkata, pihaknya masih belum memutuskan sama ada mahu membawa permohonan pengusaha bas terbabit untuk menaikkan tambang antara 10 sehingga 30 peratus.

“Setakat ini belum ada keputusan untuk dibawa ke Kabinet, kementerian bersimpati dengan syarikat bas kerana keadaan yang dilalui oleh pekerja mereka serta pemandu-pemandu.

“Sebelum ini kita ada mempertimbangkan untuk menaikkan kadar 10 hingga 30 peratus namun usah khuatir jika naik pun (mungkin) secara minimum,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail dan Pengarah Urusan Scania Asia Tenggara, Marie Sjodin Enstrom.

Pada bulan lalu, Kamarudin dilaporkan berkata, semakan mendapati kenaikan kadar tambang terakhir adalah pada 2009 iaitu sebanyak 31 peratus dan kementeriannya menimbangkan kenaikan munasabah bagi membantu pengusaha bas ekspres tanpa membebankan pengguna.

Sementara itu, Che Ibrahim berkata, dalam pelaburan terbaru ini pihak E-Mutiara membeli 19 buah bas baharu jenama Scania dengan nilai kira-kira RM20 juta.

“Kita mempunyai hubungan yang sangat unik dengan Scania sejak 22 tahun lalu. Bas baharu ini dilengkapkan dengan teknologi yang menjimatkan penggunaan minyak sehingga lima peratus.

“Selain mendidik pemandu bas mengenai ciri-ciri keselamatan kenderaan dan penumpang, bas baharu ini juga mesra alam dengan pengeluaran gas karbon yang berkurang,” katanya. - UTUSAN ONLINE