ZAINAL ABIDIN BORHAN

Penjelasan itu perlu dilakukan segera susulan polemik dalam kalangan warganet yang rata-ratanya mengecam tawaran melanjutkan pengajian Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) kepada lepasan UEC, yang bermula hari ini.

Ketua I Gabungan Penulis-Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, kaedah penyampaian Kementerian Pendidikan perlu diperbaiki supaya orang awam tidak keliru dengan program atau dasar pendidikan negara.

“Kementerian Pendidikan selama ini tidak menjelaskan secara terbuka kepada orang awam, itu yang ramai meletup.

“Gapena pun pada mulanya membantah tetapi selepas mengetahui perkara sebenar daripada pegawai kementerian sendiri, akhirnya kita faham dan terima,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam nada yang sama, Felo Penyelidik Utama Bersama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, Kementerian Pendidikan perlu menjelaskan secara terperinci sebab lepasan UEC layak memohon program PISMP.

Kata beliau, kekeliruan itu timbul kerana kerajaan ketika ini sedang mempertimbang untuk mengiktiraf UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan.

“UEC sebenarnya telah diiktiraf oleh kerajaan dahulu untuk permohonan menjadi guru bahasa Mandarin sahaja dan pengiktirafan itu mempunyai logik yang boleh diterima pakai.

“Lepasan UEC memang belajar dalam bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar utama, jadi memang kena pada tempatnya untuk mereka memohon menjadi guru bahasa tersebut,” katanya.

Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) merupakan pra syarat untuk mengikuti program PISMP yang ditawarkan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Program ini telah mula pada tahun 2005 selama tiga semester sebelum struktur kurikulum PPISMP berubah kepada dua semster yang telah berkuatkuasa mulai Jun 2013. - UTUSAN ONLINE