Dalam satu kenyataannya, kementerian itu menghargai tugas-tugas wartawan yang sentiasa menyajikan berita-berita berkaitan pendidikan khususnya mengenai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

“Ini termasuk juga berita-berita mengenai kejayaan murid, guru serta kementerian sendiri sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa,” katanya di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, Kementerian Pendidikan tidak menafikan peranan media yang begitu penting dalam menyebar luas maklumat berkaitan pendidikan.

“Malah pihak media dan wartawan menjadi antara platform terpenting yang menghubungkan masyarakat dan kementerian ini.

“Media diakui telah banyak membantu Kementerian Pendidikan dalam menjadikannya sentiasa di hati terutama para guru,” katanya.

Katanya, menerusi penyiaran berita seperti isu Duka Lara Guru, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) serta Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR), media telah memberikan fokus penting dalam menyampaikan maklumat tepat dan sahih kepada masyarakat.

“Agar semua ini tidak menjadi polemik dan dijadikan bahan sensasi pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Kementerian Pendidikan mengharapkan agar kerjasama media melalui paparan berita berimpak positif, laporan khas yang berinformasi serta liputan program-program pendidikan akan diteruskan.

“Sekali gus menjadikan hasrat kualiti pendidikan negara mencapai satu pertiga teratas dalam kalangan negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia menjelang 2050,” katanya. - UTUSAN ONLINE