Mohamed Shafie BP Mammal
Mohamed Shafie BP Mammal

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, angka tersebut satu jumlah yang besar dan tidak boleh dipandang remeh.

“Kementerian perlu bertanggungjawab jika benar 6,500 guru yang masih belum menerima penempatan.

“Siasatan perlu dibuat dan mengapa tiada tempat untuk mereka? Mereka telah dilatih, jangan jadikan masalah dan mereka menjadi mangsa dengan tergantung.

“Pastinya mereka ini sebahagian daripada pengikut kerajaan, beri ruang dan tempat untuk mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mendedahkan masalah kekurangan guru di bandar besar semakin serius di kawasan bandar terutamanya melibatkan negeri Johor dan Selangor.

Rentetan daripada kenyataan Dr. Maszlee itu, akhbar Utusan Malaysia pula mendedahkan Kira-kira 6,500 graduan pendidikan dari universiti awam seluruh seluruh Malaysia masih belum menerima penempatan sebagai guru lantaran dasar pasaran terbuka yang diamalkan Kementerian Pendidikan sejak beberapa tahun dahulu.

Wakil Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam (GGPUA), Mohd. Azrinsyah Abd. Aziz berkata, melalui kutipan data yang dilakukan pihaknya sejak Jun lalu, sejumlah 6,516 graduan pendidikan memberi respons dan mendakwa masih belum ditempatkan sebagai guru walaupun ada antara mereka sudah lima tahun menamatkan pelajaran.

Sehubungan itu, menurut Mohamed Shafie, ekoran terdapat dua percanggahan fakta itu, Kementerian Pendidikan perlu telus dalam mencari jalan penyelesaian.

Katanya, Kementerian perlu melakukan perubahan besar dalam menyelesaikan perkara itu kerana pastinya graduan yang menganggur itu ramai daripada orang melayu yang ingin mendidik anak bangsa.

“Perkara ini perlu diselesaikan secepat mungkin, kerana mereka telah bersedia menggalas tugas seorang pendidik,” katanya. - UTUSAN ONLINE