Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamed Yusof berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai pembuat dasar di kementerian dan pihak yang mempunyai kepen­tingan dalam bidang kemajuan teknologi.

Katanya, pihaknya terbuka dengan sebarang cadangan daripada mana-mana pihak berhubung pelaksanaan dasar baharu tersebut terutama berkaitan kebenaran ibu bapa dan kawalan pihak sekolah.

“Buat masa ini, kita belum pilih lagi anggota jawatankuasa kerana perkara itu baru sahaja diumumkan dan esok akan ditentukan dalam mesyuarat operasi Kementerian Pendidikan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mengenai Pertandingan Seni Negaraku di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berhubung penggunaan peranti itu, katanya, kementerian sedang merangka dan me­nyemak semula perkara tersebut memandangkan ia melibatkan keputusan dasar.