KATS mengeluarkan kenyataan itu berikutan penularan surat kelulusan AP Pengeksportan Pasir Sungai ke luar negara kepada empat syarikat kroni menteri yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Kanan Menteri, Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Gerald Sundaraj menggunakan ‘Letter Head’ Menteri yang disiarkan oleh portal Sabahkini semalam.


Menurut laporan itu, kandungan surat Setiausaha Sulit Kanan itu menjelaskan pelantikan atas rundingan menteri bersama Perdana Menteri.


“Sehubungan dengan itu ingin dimaklumkan hasil rundingan YB Menteri dengan YAB Perdana Menteri telah dipersetujui untuk meluluskan bagi pengeksportan pasir sungai keluar negara bagi empat syarikat..”.


Empat syarikat jelas laporan itu ialah Goldland Capital Sdn. Bhd. (Kelantan), Polo Specialist Trading Sdn. Bhd (Pahang), Legacy Lestari Sdn. Bhd. dan Asal Jasa Sdn. Bhd. (Kelantan).


Surat bertarikh 29 November 2018 merupakan satu memo arahan pejabat Menteri melalui SUSK Menteri kepada Ketua Jabatan di Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, jelas laporan itu.


Mengulas laporan portal berkenaan, KATS dalam kenyataan hari ini menjelaskan, tidak berbangkit isu rundingan terus seperti yang dilaporkan memandangkan mana-mana syarikat boleh mengemukakan permohonan untuk mengeksport pasir sekiranya mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.


Jelasnya, bagi pengeksportan bahan seperti pasir yang tersenarai dalam Jadual Kedua Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2017, lesen eksport (AP) perlu diperolehi terlebih dahulu daripada KATS dan permohonan akan dipertimbangkan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.


“Sebelum pertimbangan dan kelulusan YB Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli diberikan, syarikat-syarikat berkenaan perlulah terlebih dahulu memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan dan telah memperolehi kelulusan daripada Kerajaan Negeri di mana sumber pasir itu diperolehi,” jelas kenyataan itu. - UTUSAN ONLINE