Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad berkata, mengikut rekod yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat 7,862 kes antara 2014 hingga 2016 yang disiasat mengenai kesalahan-kesalahan seksual yang melibatkan mangsa di bawah umur 18 tahun.

Katanya, sebanyak 1,790 laman web pornografi telah berjaya disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dari 2016 hingga Jun 2017.

Justeru itu, beliau amat menyokong penuh tindakan pro­aktif oleh pelbagai pihak dalam menjayakan kempen berterusan berhubung isu tersebut.

“Kerjasama ini sangat penting memandangkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak semakin meningkat dan membimbangkan. Kesedaran dan tindakan bersama oleh semua pihak amat penting dan bertepatan sebagai langkah utama dalam mena­ngani dan membanteras jenayah seksual melibatkan kanak-kanak dengan lebih berkesan dan bersepadu,” katanya ketika me­rasmikan Taklimat Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Tambah Sharifah Zarah, ang­ka yang membimbangkan itu membuka mata kementerian untuk mengambil pendekatan menganjurkan Taklimat Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai jenayah tersebut, sekali gus melindungi mereka daripada sebarang ancaman.

Jelasnya, melalui program itu akan mendapat meningkatkan komitmen semua pihak dalam usaha mencegah dan membasmi jenayah seksual terhadap kanak-kanak selain menyediakan per­khidmatan sokongan.

“Langkah melindungi anak-anak yang merupakan satu pertiga atau 29.8 peratus daripada populasi Malaysia merupakan tanggungjawab bersama. Setiap lapisan masyarakat perlu memastikan keselamatan dan kesejahte­raan kanak-kanak kerana mereka adalah harapan dan pewaris masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata, walaupun jenayah itu bukanlah sesuatu yang baharu, namun wujud kekura­ngan kesedaran dan pendidikan berhubung perkara tersebut selain faktor budaya masyarakat yang menjadi menyukarkan usa­ha menghalang jenayah itu.

“Sejajar dengan itu, pihak kementerian akan bersama-sama membanteras jenayah ini hingga ke akar umbi.

“Amat penting memberi pe­nerangan dan kefahaman secara berterusan kepada orang ramai selain sentiasa peka dan prihatin terhadap jenayah senyap ini yang berlaku dalam masyarakat kita,” jelasnya.

Kempen Membanteras Jenayah Seksual Kanak-Kanak di pelopori oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga merupakan Penaung Program Permata.

Kementerian dan agensi utama yang bersatu padu menjayakan kempen ini ialah Permata, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pembangunan Wa­nita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pendidikan, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.