Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata, perkara itu akan dibentangkan dalam Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) yang dijangka bersidang pada 28 Februari ini.

Katanya untuk makluman, Kementerian Kewangan tidak memperuntukkan dana bagi pembayaran Bantuan Bakti Negara (BBN) yang dilaksanakan pada tahun 2016 dan 2017.

Jelasnya, peruntukan bagi BBN sebelum ini yang berjumlah sebanyak RM53 juta adalah hasil daripada penjualan tanah kem ATM yang pada asalnya bertujuan untuk menaik taraf kem sedia ada.

"Tindakan ini telah mengakibatkan program menaik taraf kem-kem ATM sedia ada ditangguhkan.

"Justeru bagi tahun 2018 dan 2019 keutamaan diberikan kepada program-program menaik taraf kem ATM sedia ada yang tertangguh," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata Dzulkarnain, kenyataan itu adalah merujuk kepada laporan Free Malaysia Today mengenai pesara tentera terkilan tiada bantuan RM1,200 seperti zaman kerajaan Barisan Nasional (BN).

BBN merupakan bantuan tahunan yang diperkenalkan oleh kerajaan BN pada tahun 2016 berjumlah RM1,000 kepada veteran ATM yang tidak berpencen bagi mengurangkan beban kewangan mereka.

Jumlah itu kemudian dinaikan kepada RM1,200 bagi tahun 2017. - UTUSAN ONLINE