Beliau berkata, dengan kelulusan yang diperoleh 4 Ogos lalu, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dapat menjana pendapatan sendiri melalui pengkomersilan produk penyelidikan dan pembangunan yang dijalankannya.

“Ini secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Raya Korban Perdana kementerian itu di Masjid Jamek FRIM di sini hari ini.

Pada 7 April tahun lepas, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang FRIM 2016 yang antara lain membenarkan institut itu menubuhkan atau memajukan syarikat untuk memperkukuhkannya menjadi satu badan pihak berkuasa bagi mengkomersil dan mengurus program atau projek berkaitan bidang penyelidikan hutan.

Sementara itu, Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mahmod berkata kira-kira 150 produk berpotensi akan dikomersilkan pada peringkat awal.

Beliau berkata 15 produk terbaik disasarkan berada di pasaran tahun depan dengan jangkaan pendapatan antara RM150 juta dan RM200 juta selepas tiga tahun di pasaran.

"Kita tubuhkan pasukan khas bagi membantu memastikan produk-produk ini berjaya dipasarkan dan menembusi pasaran antarabangsa," katanya. Beliau berkata antara produk berpotensi ialah perabot daripada hasil hutan, terutamanya yang diusahakan pengusaha bumiputera. - BERNAMA