Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM), Datuk Abdul Raof Husin berkata, kelazimannya, mana-mana menteri khususnya Kementerian Pendidikan yang memohon peruntukan daripada Kementerian Kewangan, pasti diberikan pertimbangkan khas untuk diluluskan segera atau dalam tempoh seminggu.

ABDUL RAOF HUSIN
ABDUL RAOF HUSIN 

“Rasa pelik dan tidak boleh terima apabila Menteri Pendidikan secara peribadi sudah memohon peruntukan tetapi ditolak untuk pertimbangan.

“Dahulu perkara ini tidak pernah berlaku, apa lagi mahu dipertimbangkan kerana kertas kerja tersebut dibuat pegawai bertanggungjawab dan mendapat perakuan ketua setiausaha kementerian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kementerian Pendidikan da­lam kenyataan semalam memberitahu, Maszlee telah mengemukakan permohonan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk mendapatkan peruntukan tambahan bagi menyelenggara dan membaiki sekolah kebangsaan dan sekolah agama negeri.

Katanya, permohonan tersebut bagaimanapun masih da­lam pertimbangan ke­­­menterian terbabit sekali gus menolak tanggapan yang Kementerian Pendidikan tidak mengambil berat kebajikan murid dan sekolah khususnya ali­ran sekolah kebangsaan.

Dalam perkemba­ngan lain, Abdul Raof turut mempersoalkan tentang kewajaran Kementerian Kewangan menyediakan dana khas untuk sekolah menengah persendirian Cina berjumlah RM12 juta kerana tindakan itu disifatkan menganaktirikan sekolah kebangsaan.

Menurutnya, sewajarnya Kementerian Kewangan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi sekolah dimiliki kerajaan terlebih dahulu sebelum mahu membantu sekolah persendirian.