Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ini penting bagi mengelakkan kerajaan terpaksa berdepan dengan masalah projek yang lambat disiapkan hingga terpaksa menanggung kos tambahan.

Sehingga kini, katanya, terdapat 23 projek untuk kementerian itu termasuk klinik dan hospital di seluruh negara yang dikategorikan sebagai projek sakit.

"Sesuatu projek itu dianggap sakit jika ia mengalami kelewatan lebih daripada 20 peratus. Sebahagian daripada projek yang lewat ini diberikan secara runding terus," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat tapak projek Hospital Rembau, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zainudin Mohd. Ali.

Dzulkefly memberitahu, beliau akan menjelajah untuk melihat satu persatu semua 23 projek yang berada dalam zon merah tersebut.

Jelasnya, kementeriannya akan memastikan semua projek berkenaan diberi perhatian serius dan amaran tegas akan diberikan kepada kontraktor supaya menyiap dan menyerahkan projek mengikut tempoh masa yang diberikan.

"Kita boleh ambil tindakan menamatkan kontrak tetapi jika diberikan kepada kontraktor lain, ia akan mengambil masa lebih panjang untuk disiapkan selain kos tambahan yang perlu ditanggung kerajaan," ujarnya.

Mengenai pembinaan Hospital Rembau yang lewat selepas dimulakan pada 2013, beliau berkata, pihaknya menjangka ia dapat disiapkan dalam suku pertama tahun depan walaupun pihak kontraktor yakin dapat melakukannya menjelang akhir tahun ini.

Menurutnya, kos asal projek hospital yang mempunyai 76 katil itu ialah RM96 juta tetapi telah meningkat kepada RM104 juta akibat kelewatan tersebut.

"Ini adalah salah satu projek dalam pemerhatian saya. Ia pernah termasuk dalam kategori merah tetapi sekarang sudah dipulihkan dan siap lebih 80 peratus," katanya. - UTUSAN ONLINE