Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, masalah kekurangan kakitangan telah lama berlaku dan kerap dibincangkan di peringkat kementerian berkenaan.

"Pada saya sangat jelas kami sangat memerlukan penambahan kakitangan. Selepas sembilan bulan di kementerian ini, tiada kesangsian bahawa kita perlu tambah doktor, jururawat, pemandu dan semuanya.

"Kita sudah diperuntukkan sejumlah wang dan sedang menyusun dan merancang bagaimana kita akan mendapat penambahan jawatan di kementerian ini.

"Sudah pasti kita perlukan penambahan kakitangan bukannya dikurangkan. Pada masa ini kita ada lebih 280 skim perjawatan. Kita tahu secara khusus di setiap skim perkhidmatan berapa yang diperlukan," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Rawatan Harian di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam bahawa jumlah kakitangan awam seramai 1.7 juta orang adalah terlalu besar dan perlu dikurangkan.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata, kerajaan menanggung hampir RM500,000 sebulan bagi menempatkan 274 pesakit dari Pusat Perubatan Mawar di sini yang diarah tutup baru-baru ini ke hospital dan pusat rawatan lain.

Jelasnya, daripada jumlah itu seramai 136 pesakit ditempatkan di hospital dan pusat hemodialisis swasta manakala 138 pesakit di tujuh buah hospital kerajaan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua petugas yang terlibat dalam membantu semua pesakit berkenaan.

"Ada petugas yang balik ke rumah selepas pukul 2 pagi dan kita beri pengiktirafan kepada mereka semua," katanya.

Kementerian Kesihatan pada 12 Januari lalu menarik balik lesen operasi pusat perubatan itu selepas gagal mematuhi syarat lesen yang ditetapkan. - UTUSAN ONLINE