Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Pharmaniaga bukanlah satu-satunya pemegang konsesi yang membekalkan produk perubatan kerana ia turut melibatkan pembekal lain yang membekalkan produk secara terus kepada semua fasiliti kesihatan milik Kementerian Kesihatan.

Perkhidmatan awam menguruskan perolehan ubat-ubatan melalui polisi perolehan Kementerian Kewangan yang melibatkan pembelian melalui tender nasional, perjanjian konsesi dan pembelian langsung oleh fasiliti kesihatan secara individu.

Pada tahun 2017, kira-kira 33.4 peratus (RM1.1 bilion) perbelanjaan farmaseutikal Kementerian Kesihatan adalah daripada syarikat konsesi, manakala 66.6 peratus (RM2.2 bilion) lagi merupakan pembelian oleh fasiliti kesihatan melalui kontrak dan sebut harga,” katanya dalam sebuah kenyataan di sini hari ini.

Beliau merujuk laporan daripada portal Free Malaysia Today pada 6 Jun lalu yang bertajuk ‘Badan pemikir gesa kerajaan kaji peranan Pharmaniaga’. - UTUSAN ONLINE