Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. S. Jeyaindran berkata, inisiatif itu diambil berikutan tindakan segelintir pemandu yang bersikap mementingkan diri menyebabkan petugas kesihatan lewat sampai ke lokasi bagi memberikan  rawatan kecemasan kepada mangsa.

Katanya kaedah pengawasan itu dijangka meningkatkan kecekapan pasukan keselamatan yang bukan hanya merakam kesalahan memandu melebihi had laju bahkan kesalahan lain di jalan raya bagi mengelakkan mereka yang memerlukan bantuan teraniaya.

"Kita sudah melakukan percubaan pemasangan 'dashboard camera' ini pada ambulans di kawasan Lembah Klang selama setahun dan kita dapati banyak kebaikannya.

"Bagaimanapun, kita perlu melakukan kajian (menyeluruh) termasuk kos yang perlu diperuntukkan sekiranya pemasangan 'dashboard camera' ini dilaksanakan pada semua ambulans di seluruh negara,"katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar 'Paramedic Emergency  Update Melaka' (iPremium) 2017 di Rumah Media Melaka di sini hari ini.

Turut hadir pada program yang berlangsung selama dua hari itu, Pengerusi Pertubuhan Traumatologi dan Perubatan Kecemasan Malaysia Prof. Datuk Seri Dr. Abu Hassan Asaari Abdullah dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) Datuk Dr. Dulhadi Mohd. Junid Seminar serta 260 peserta yang terdiri daripada anggota dan pegawai perubatan.

Dr. Jeyaindran berkata pihaknya kini dalam usaha menambah 400 buah kamera yang mempunyai spesifikasi tinggi untuk diagihkan di seluruh negara secara berperingkat dalam tempoh dua tahun.

"Selain itu, kita juga bercadang untuk menempatkan ambulans di luar kawasan hospital termasuk plaza tol, surau dan kedai serbaneka bagi memberi tumpuan kepada kawasan yang sering berlaku kemalangan sekali gus mempercepat 'response time'," katanya.

Beliau berkata hampir 30 peratus ambulans kini berada di dalam bengkel, dan oleh itu timbul keperluan untuk menambah ambulans baharu yang berharga RM400,000 setiap satu bagi menampung keperluan semasa.-BERNAMA