Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ramai anak muda kini sanggup berhijrah ke luar negara dan melakukan pelbagai kerja termasuk dalam sektor pekerjaan yang berbahaya, kotor dan sukar (3D) kerana mengejar gaji yang lumayan.

“Kita akan bekerjasama dengan beberapa kementerian lain untuk tubuhkan jawatankuasa khas bagi nilai dan perhalusi masalah ini sekali gus mengelak anak muda berhijrah ke luar negara.

“Kita juga perlukan bantuan kementerian lain supaya dapat bekerjasama bagi pastikan pekerjaan yang kita tawarkan kerana kita mahu bantu belia terutama lepasan vokasional berkecimpung dalam bidang sains teknologi dan digital ,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Graduan Aspire 2018 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur di sini.

Program yang berlangsung selama dua hari itu turut menghimpunkan 150 syarikat terkemuka yang menawarkan peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang.

Mengulas lanjut Syed Saddiq berkata, pihaknya memberi perhatian khusus dalam isu ini berikutan kadar pengangguran belia sangat membimbangkan dengan laporan Bank Negara awal tahun ini menunjukkan pengangguran belia berada tiga kali ganda lebih tinggi daripada kadar nasional. - UTUSAN ONLINE