Lima penyewa yang masih menjadikan pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) sebagai tempat tinggal sementara sejak tujuh hari lalu juga bersetuju untuk mengosongkan kawasan berkenaan bermula petang ini.

Difahamkan, penyewa berkenaan telah ditawarkan rumah sewa beli di Lebuh Macallum, rumah kos sederhana rendah serta rumah mampu milik setelah hampir lima jam berunding dengan wakil kerajaan negeri.

Menurut Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Sophian Mohd. Zain, penyewa dibenarkan pulang ke unit PPR masing-masing hari ini dan diberikan tempoh selama dua minggu sebelum berpindah dari rumah berkenaan.

"Tuntutan penyewa setakat ini telah dipersetujui, jika semua urusan perpindahan telah selesai penyewa akan mengosongkan unit PPR masing-masing.

"Hari ini adalah hari terakhir mereka berada di Komtar dan akan beredar selepas mengadakan solat isyak di sini dan majlis doa kesyukuran," katanya di sini hari ini.

Pada Rabu lalu, serramai 22 penyewa diusir dari PPR Taman Manggis di sini selepas didakwa hilang kelayakan menghuni kediaman masing-masing.

Penyewa kemudiannya menjadikan pekarangan Komtar sebagai tempat tinggal sementara sehingga jalan penyelesaian dicapai dengan kerajaan negeri hari ini.

Dalam pada itu, seorang penyewa, Nazrimah Jamal Abidin, 44, berkata, dia bersyukur kerana akhirnya masalah melibatkan unit PPR yang didudukinya itu selesai.

"Saya ditawarkan rumah sewa beli di Lebuh Macallum dengan kadar sewa RM230 sebulan dan saya bersetuju dengan tawaran ini.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu kami dalam hal ini sehingga rundingan selesai dijalankan," katanya. - UTUSAN ONLINE