Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, berikutan itu, kerajaan melantik Pengarah Bukan Eksekutif Bebas FGV, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob sebagai pemang­ku Pengerusi FGV berkuat kuasa serta-merta.

Perdana Menteri turut melantik Mohd. Isa sebagai pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkuat kuasa serta-merta sebagai menghargai peranan beliau yang berte­rusan kepada negara.

“Saya sahkan sudah bertemu dengan Mohd. Isa pagi ini dan Datuk Seri Idris Jala turut bersama. Kita telah berbincang dengan mendalam tentang masa depan FGV dan juga peranan Mohd. Isa.

“Maka Mohd. Isa dengan rela hati bersetuju melepaskan jawatan sebagai Pengerusi FGV dan tempatnya diganti dengan Tan Sri Dr. Sulaiman sebagai pemangku pengerusi.

“Dengan penyusunan semula, ini mencerminkan hasrat kerajaan meletakkan FGV di atas landasan yang lebih kukuh dari segi pe­ngurusan kerana kita yakin FGV mempunyai masa depan yang cerah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Kunci Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Presint 17, dekat sini hari ini.

FGV dalam satu kenyataan di Bursa Malaysia hari ini menjelaskan, peletakan jawatan Mohd. Isa bagi membolehkan beliau memberi tumpuan kepada urusan peribadinya.

Najib memberitahu, tindakan dalaman akan diambil untuk menentukan proses keadilan melalui lembaga siasatan bebas terhadap apa yang telah berlaku ke atas empat pengurusan kanan FGV termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad.

“Ini dikehendaki oleh prinsip pentadbiran syarikat yang disenaraikan dalam syarikat awam.

“Itu perkara biasa, apabila ada lembaga siasatan, ia bukan bermakna dia bersalah tetapi proses itu perlu kita lakukan dan selesai nanti, pihak Lembaga Pengarah (FGV) akan membuat keputusan seadilnya dan sebaik mungkin,” jelasnya.

Perdana Menteri turut menjelaskan, keputusan melantik Sulaiman sebagai pemangku pengerusi adalah sementara sehingga satu keputusan akhir dibuat.

“Kita perlu ada perubahan segera, jadi kalau orang baharu kena lantik lembaga pengarah, lepas itu kena lantik pengerusi jadi ia akan mengambil sedikit masa.

“Kita mahu FGV diteruskan tanpa sebarang gangguan,” katanya.

Sulaiman, 67, yang merupakan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas FGV turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Telekom Malaysia (TM) dan Pengerusi Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia dan Jambatan Kedua Sdn. Bhd.

Beliau juga tokoh yang berpengalaman luas dalam kerajaan kerana telah berkhidmat selama 38 tahun dalam pelbagai jawatan termasuk Ketua Pengarah Unit Pe­rancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal.