Sekolah berkenaan yang memainkan lagu Assalamualaikum nyanyian Faizal Tahir dan Tari Tualang Tiga dengan menggunakan alat muzik seperti biola, dram dan gitar berjaya mengalah empat sekolah lain yang menyertai pertan­dingan akhir berkenaan.

Selaku pemenang, SK Setia­wangsa membawa pulang wang tunai RM3,000, piala, sijil penyertaan dan hadiah iringan berupa alat-alat muzik sumbangan JS MUSIC Sdn. Bhd.

Tempat kedua dan ketiga dimiliki oleh SK Lingga Baru, Sabah dan SK Bandar Tawau dengan masing-ma­sing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,500 dan RM700.

Penganjur yang juga Guru Besar SK Setiawangsa, Datin Siti Rokiah Salleh ketika berucap dalam majlis berkenaan berkata, pertandingan yang dilancarkan pada 1 September tahun lalu itu mensyaratkan sesebuah sekolah menghantar rakaman persembahan kepada penganjur dengan memuat naik ke laman sosial Facebook.

“Melalui Facebook kami menerima penyertaan dari sembilan buah sekolah seluruh negara. Pada peringkat ini mereka dihakimi melalui jumlah pengundian dalam talian dan markah daripada pihak juri.

“Matlamat utama penganjuran pertandingan ini adalah untuk mencungkil bakat seni murid-murid dan seterusnya menyerlahkan daya kreativiti mereka pada usia muda,” jelasnya.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut, Penaung Yayasan Amal Wangsa, Tan Sri Dr. Zulhasnan Rafique.

Pertandingan akhir disertai oleh lima buah sekolah iaitu SK Setiawangsa setelah mendapat 2,940 Like di Facebook, SK Bandar Tawau (2,830 Like), SK Koporingan (1,723 Like), SK Lingga Baru (826 Like) dan SK (P) Methodist, Pahang (417 Like).

Empat buah sekolah lain yang turut mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut adalah SKJC Union, SK Convent Bukit Nanas 2, SK Sultanah Asma dan SK Tapak.