Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, status tersebut akan memberikan asas kukuh dalam hubungan antara ketiga-tiga wilayah iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung serta memberi tumpuan kepada pembangunan menyeluruh kedua-dua negeri.

Beliau berkata, langkah itu bagaimanapun perlu dilaksa­nakan dalam semangat saling hormat menghormati dan tolak ansur kerana tanpa nilai-nilai murni itu, kesatuan antara ketiga-tiga wilayah sebagai satu negara akan terhakis.

“Kerajaan Persekutuan di ­bawah PH pasti tidak akan melupakan tanggungjawabnya kepada Sabah dan Sarawak serta akan mencari jalan untuk memajukan infrastruktur yang akan dilaksana mengikut kehendak dan keperluan rakyat di sini.

“Pada masa yang sama, saya yakin, hubungan antara rakyat yang terjalin begitu lama pasti menyedarkan kita betapa perlunya terdapat semangat reciprocity atau timbal balik antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Malaysia 2018 bertemakan Sayangi Malaysiaku di Padang Merdeka di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta pemimpin Kabinet Persekutuan, Sabah dan Sarawak.

Kira-kira 30,000 rak­yat menunjukkan sema­ngat patriotik apabila hadir ke sambutan itu yang diisi dengan persembahan tarian pelbagai etnik, nyanyian lagu-lagu patriotik serta diakhiri upacara pemotongan kek Hari Malaysia 2018 oleh Juhar.

Menurut Dr. Mahathir, dalam menyemai semangat timbal balik, pemimpin dan rakyat ke­dua-dua negeri pasti sedar masih terdapat negeri-negeri di Semenanjung yang serba kekurangan dan memerlukan bantuan berte­rusan daripada kerajaan.

“Saya yakin rakyat Sabah dan Sarawak berasa senang dan diterima di Semenanjung kerana kehadiran mereka di sana tidak ada sebarang sekatan.

“Ini saya percaya telah berjaya mengeratkan hubungan sesama kita sebagai rakyat Malaysia, keakraban yang terbina inilah yang membantu Malaysia kekal walaupun ada ketikanya timbul perbezaan pendapat di antara pemimpin daripada ketiga-tiga wilayah ini,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, sambutan tahun ini turut membawa sejarah berbeza kerana buat pertama kali kerajaan Persekutuan telah berubah daripada Barisan Nasional (BN) kepada PH sehingga timbul slogan Malaysia Baharu.

Sehubungan itu katanya, slogan berkenaan membawa maksud kuasa rakyat perlu sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan Persekutuan kerana jika tidak nasib yang sama akan dialami.