Presiden Perkasa, Datuk Dr. Ib­rahim Ali berkata, kuota biasiswa yang disediakan oleh Jaba­tan Per­­khidmatan Awam (JPA) perlu diberikan 100 peratus kepada golongan itu dan bukannya dibahagi-bahagikan kepada kaum lain bagi menepati hak istimewa bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan.

Beliau berkata, bagi kaum-kaum lain biasiswa khas boleh diwujudkan untuk mereka dan bukannya mengambil daripada dana biasiswa JPA sehingga merugikan bumiputera.

“Satu ketika dulu JPA memperuntukkan sebanyak RM1.9 bilion untuk biasiswa kepada bumiputera sahaja, tetapi kini separuh daripada jumlah biasiswa yang disediakan telah ditetapkan untuk pelajar kaum lain.

"Inilah kesan daripada perubahan dasar sehingga menyebabkan ada pelajar bumiputera yang mengikat perut di universiti kerana tidak mendapat biasiswa walaupun itu adalah hak mereka,” kata­nya selepas merasmikan Kongres Perkasa Sabah di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali; Timbalan Yang Dipertua 1 Perkasa Sabah, Datuk Rekan Hussin dan Pengerusi Kongres, Jeffrus Maimin.

Kongres tersebut meluluskan sembilan usul yang akan dibawa kepada kerajaan iaitu pendidikan, ekonomi, isu pendatang asing tanpa izin (PATI), mendaulatkan bahasa Melayu, penyalahgunaan kuasa dan rasuah, tanah adat, royalti minyak, Perjanjian Malaysia 1963 dan kebajikan ibu tunggal.

Dalam ucapan perasmiannya Ibrahim berkata, Perkasa Sabah perlu tampil sebagai penimbang tara kepada kerajaan dan memperjuangkan isu-isu hak rakyat terutama dalam soal mempertahankan tanah adat.

Katanya, tanah-tanah adat per­lu dipertahankan agar tidak di­ceroboh atau diambil oleh pihak tertentu, selain mengelak daripada perubahan dasar yang boleh menyebabkan status tanah adat sedia ada hilang.

Dalam pada itu, Rekan ketika berucap berkata, kerajaan negeri perlu memperbanyakkan pembinaan rumah murah untuk rakyat dan bukannya kediaman yang hanya mampu dilihat kerana harganya lebih daripada RM500,000 seunit.

“Kita tengok di mana sahaja ada projek perumahan tetapi yang mampu beli hanya orang luar atau kaum pribumi yang telah kita pilih menjadi pemimpin.

“Hanya pemimpin yang dapat beli sedangkan mereka itu dipilih oleh rakyat, tetapi akhirnya rak­yat hanya mampu lihat kekayaan mereka tanpa mendapat pembe­laan,” katanya.