Namun, sejak 70 tahun kebelakangan ini, seni itu telah hilang dan semakin dilupakan oleh generasi hari ini yang sepatutnya menyambung keseniaan kebanggaan golongan istana berkenaan.

Pengarah Perbadanan Muzium negeri, Datuk Ahmad Farid Abd. Jalal berkata, menyedari hakikat itu, pihaknya mengambil inisiatif melaksanakan bengkel telepuk.

Katanya, bengkel itu bagi memartabatkan kembali seni telepuk dengan memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali dan mencintai warisan seni negara itu.

"Bengkel yang berlangsung dua hari bermula semalam ini memberi pendekatan pengajaran dan pembelajaran kursus ini dalam penghasilan kain telepuk yang dikendalikan oleh Adiguru Norhaiza Noordin," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Farid berkata, berdasarkan sejarah, terdapat dua teknik menghasilkan kain telepuk iaitu dengan menggunakan serbuk perada atau air emas untuk melukis corak diingini di atas kain seperti diamalkan di Indonesia.

Teknik kedua pula katanya, adalah teknik mengecop dengan menggunakan cop telepuk yang disaluti gam dan dicopkan di atas kain yang telah digerus sebelum kertas emas dilekatkan serta ditepuk ke atasnya untuk menghasilkan motif emas yang unik.

"Proses ini mungkin tampak mudah tetapi ia sebenarnya memerlukan ketekunan dan ketelitian yang tinggi," jelasnya. - UTUSAN ONLINE