MAS MIDYAWAN
MAS MIDYAWAN

Persatuan Persahabatan Muslim Profesional (PPMP) dalam satu kenyataan berkata, selaku penduduk asal Rakhine yang diiktiraf dan telah direkod dalam pelbagai kajian sejarah serta ilmiah, kekerasan Myanmar ini sebenarnya satu langkah pengusiran sistematik bertujuan menafikan hak dan menghapuskan kewujudan bangsa itu dari Myanmar.

"PPMP amat kesal dengan laporan keganasan yang setakat ini telah menyebabkan ribuan penduduk Muslim  mati dan beratus-ratus rumah telah bakar serta menyebabkan penduduk Islam menjadi pelarian," kata Pengerusi PPMP, Mas Midyawan Yahya dalam satu kenyataan.

"Kami percaya, sebagai seorang bekas pemenang Anugerah Keamanan Nobel, pemimpin unggul Myanmar turut mempercayai prinsip 'semua manusia dilahirkan bebas dan sama rata dari segi kemuliaan dan hak'.

"Atas kepercayaan pada pegangan prinsip ini, PPMP sebagai sebuah persatuan yang berteras persahabatan dan persaudaraan sesama Islam, mendesak agar maruah dan hak layanan sama rata penduduk Islam Rohingya dikembalikan," tambah kenyataan itu lagi. - UTUSAN ONLINE