Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, penghayatan terhadap Rukun Negara dilihat semakin berkurangan terutamanya dalam kalangan generasi muda yang mengundang kebimbangan.

Katanya, isu-isu melibatkan agama dan kaum kini sering ditimbulkan dan keadaan itu merupakan satu gejala yang tidak sihat.

“Kita harus hormat-menghormati antara satu sama lain, kurangnya amalan ini adalah punca masalah-masalah kepada negara.

“Saya cadangkan Jabatan Perdana Menteri dan seluruh rakyat negara ini tidak kira kaum, latar belakang politik dan agama menghayati konsep yang terdapat dalam Rukun Negara bagi memupuk perpaduan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Asrama 1Malaysia.

Majlis tersebut turut dihadiri kira-kira 500 orang yang terdiri daripada ahli keluarga pelajar serta para pelajar. Yang hadir sama, Pengurus Asrama 1Malaysia, Muhammad ­Syukri Kamarudin.

Lam Thye berkata, kerjasama yang telah terjalin antara Asrama 1Malaysia dan Yayasan 1Malaysia diharap menjadi ikon serta model perpaduan dalam kalangan pelajar khasnya dan generasi muda amnya.

“Saya amat berharap pelbagai program dapat dilaksanakan di masa hadapan.

“Perpaduan yang terjalin pada masa ini perlulah kita jaga demi keharmonian dan keamanan negara, semoga tahun ini memberi kemakmuran pada kita semua,” katanya.