Kejadian sedemikian jelas mengundang rasa marah dan empati masyarakat yang mengutuk perilaku di luar kemanusiaan itu, namun bagi ibu yang mengandung dan melahirkan bayi tidak berdosa ini, kejadian berkenaan menjadi satu igauan ngeri menghantui kehidupannya.    

“Selagi kes Zara tidak selesai, selagi pelaku tidak dihukum, saya takkan berasa tenang,” kata ibu kepada Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal, bayi berusia 11 bulan yang meninggal dunia pada Jumaat lalu selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang dekat sini.

Bayi yang dilahirkan pada 10 Disember 2017 itu dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhnya sendiri.

Noraihan Ab. Aziz, 22, yang bertugas sebagai operator kilang di Bandar Baru Bangi berkata, dia tidak pernah menjangka tragedi hitam seumpama itu akan menimpa keluarganya dan meninggalkan kesan yang amat pedih dalam kehidupan mereka.

“Hati saya sakit sangat, apabila melihat keadaan Zara yang menyayat hati, saya serahkan kepada pihak polis untuk melakukan penyiasatan dan mengenakan hukuman setimpal pada pesalah,” katanya, yang kedengaran begitu hiba ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan yang dipercayai mengalami penderaan fizikal dan seksual meninggal dunia Jumaat selepas dua hari bertarung nyawa ketika mendapatkan rawatan di Hospital Serdang sejak Rabu lalu. - BERNAMA