Ketua Pengarah Jabatan Ke­selamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Rosli Isa berkata, Malaysia merupakan sebuah negara aman namun kadar kematian setiap tahun akibat kemalangan jalan raya melebihi negara yang berperang seperti Palestin.

“Jika di Palestin, kematian 350 setahun ini adalah disebabkan oleh peperangan tetapi kita kematian 7,200 setahun disebabkan kemalangan jalan raya.

“Dalam kajian yang dibuat oleh sebuah universiti, dalam setahun dianggarkan 10,000 orang terlibat dalam kemalangan jalan raya yang berada dalam keadaan kecacatan kekal dan jumlah ini menggerunkan kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Program Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya di Jalan Kuantan-Sungai Lembing di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Datuk Mark Ujin.

Rosli berkata, pihaknya bersama agensi berkaitan berhadapan dengan cabaran untuk menurunkan statistik kemalangan jalan raya jika pengguna masih tidak mengambil berat peraturan dan undang-undang ketika memandu.

Bagi mengubah sikap, kata beliau, JKJR melaksanakan pelbagai program bertujuan mendidik orang ramai tentang kepentingan menjaga keselamatan diri ketika menggunakan jalan raya seperti penggunaan tali pinggang keledar dan pemakai­an topi keledar yang diluluskan SIRIM Berhad (SIRIM).

Selain itu, beliau berkata, bermula 2019, JKJR dengan kerjasama Kementerian Pendidikan akan melaksanakan modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) di semua sekolah rendah di seluruh negara.

“Ketika ini modul PKJR yang dimasukkan di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu telah dilaksanakan di 24 buah sekolah rendah terpilih. Modul PKJR bagi sekolah menengah pula akan dilaksanakan pada 2020.

“Menerusi modul ini, kita memberikan infografik, tanda-tanda isyarat dan panduan ke­selamatan jalan raya bagi membentuk generasi muda supaya memiliki sikap serta budaya berhemah di jalan raya,” ujarnya.