Baginda bertitah, ini termasuk mereka yang mungkin tidak sehaluan walaupun usaha untuk merealisasikannya bakal berdepan keperitan sukar selepas keputusan Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14) baru-baru ini.

Titah baginda, amalan tidak sihat yang dipraktikkan oleh negara tertentu yang mana ‘pemenangnya memonopoli semua’ harus dielakkan, sebaliknya ia memerlukan tajdid atau pembaharuan dan islah iaitu perubahan kepada kebaikan bagi menambah baik serta memberikan nafas baharu kepada institusi di negara ini.

“Beta berharap rakyat Malaysia merasa berkuasa untuk menentukan serta mempengaruhi masa depan negara. Seperti yang beta tekankan lebih sedekad lalu, rakyat Malaysia tanpa me­ngira bangsa, agama dan kedudukan geografi perlu percaya dan tidak meragui bahawa setiap daripada mereka mempunyai tempat di negara ini.

“Setiap seorang rakyat di Malaysia harus terlibat dan kita harus beringat untuk melibatkan semua pihak berkepenti­ngan dalam perjalanan bersejarah ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Dunia Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) Kali Ke-5 2018 anjuran kerajaan negeri menerusi Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di [email protected] di sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi oleh Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Penerangan Perak, Dr. Abdul Aziz Bari serta Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof. Dr. Nordin Kardi.

Dalam titah baginda, Sultan Nazrin mencadangkan supaya lebih banyak usaha dilakukan bagi membuatkan golongan muda dirujuk secara aktif serta dilibatkan dalam membuat keputusan termasuk hal ehwal politik dan proses diplomatik.

Baginda bertitah, ini kerana mereka boleh membawa perubahan signifikan secara aman lagi positif kepada semua.

Titah baginda, di Malaysia, golongan muda perlu lebih diperkasa menjadi pemacu kepada perubahan bagi membina masa depan sendiri, justeru suara mereka harus didengari sementara idea mereka dikongsi dalam kerangka demokrasi dan forum diplomatik.

“Bagi mengetengahkan ke­pentingan utama ini, beta ingin menegaskan bahawa golongan muda kini membentuk hampir separuh daripada populasi dunia. Pada tahun 2017, 42 peratus daripada populasi global adalah di bawah umur 25 tahun dan bilangannya dijangka terus bertambah,” titah baginda.