Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, mangsa, N. Keshvin memakai baju tanpa lengan dan berseluar pendek berwarna merah ditemukan tertiarap di kawasan tempat letak kereta flat berkenaan dalam keadaan berlumuran darah.

Menurut seorang penduduk yang tidak mahu dikenali, orang ramai menemukannya dalam keadaan separuh sedar dan tangan kanannya dipercayai patah akibat terjatuh sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) oleh ambulans swasta.

Menurutnya lagi, kanak-kanak itu berkemungkinan tinggal di rumah bersendirian kerana ibunya pergi mengambil kakak yang berusia enam tahun di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Sungai Ara.

“Mangsa dikatakan bermain seorang diri dan terjatuh dari tingkap bilik rumahnya di aras lima kerana dipercayai mahu membuang basikal miliknya tetapi tersangkut di ampaian besi yang berada di bahagian luar rumah.

“Mangsa kemudiannya memanjat tingkap itu dan mahu membuka jerijinya untuk mengambil basikal tersebut tetapi terjatuh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah (1) Timur Laut, Superintenden Izwan Abd. Karim ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu mangsa kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP untuk rawatan lanjut.

“Kanak-kanak itu kini dilaporkan masih kritikal namun keadaannya stabil dan dipantau doktor,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE