Baginda bertitah, keperluan dan hak sebagai seorang muslim perlu diutamakan berbanding perkara lain.


“Misi kebajikan dan kemanusiaan haruslah merentasi sempadan agama dan politik. Ianya soal keperluan dan hak sebagai seorang Muslim,” titah baginda selepas berkenan berangkat mencemar duli menerima kunjungan mengadap oleh Timbalan Setiausaha Agung Keahlian, Pertubuhan Antarabangsa Persatuan Palang dan Bulan Sabit Merah Sedunia yang berpengkalan di Geneva, Switzerland, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood tengahari tadi.



Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Mufti Negeri Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

Hadir sama Managing Partner Malaysia dan Assurance Managing Partner ASEAN bagi Ernst & Young Malaysia yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kewangan MAIPs, Datuk Abdul Rauf Rashid.



Baginda sebagai Yang Dipertua MAIPs terdahulu telah berkenan membincangkan dengan Dr. Jemilah mengenai potensi instrumen kewangan Islam yang dapat digunakan oleh MAIPs bagi menyalurkan bantuan kepada usaha-usaha kemanusiaan termasuklah dalam isu-isu mengenai penyelamatan, pendidikan dan juga membasmi kebuluran.



MAIPs turut terlibat dalam usaha-usaha kemanusiaan bagi menangani isu di peringkat global seperti projek wakaf telaga air di Rohingya selain pernah mengadakan kerjasama dengan Kementerian Wakaf Jordan bagi membantu pelarian Syria. - UTUSAN ONLINE