Beliau memberitahu, Tien Chee bukan sahaja merupakan rakan seperjuangan dalam DAP malah juga sahabat yang cukup rapat secara peribadi.

“Beliau seorang ADUN yang cukup komited kepada penduduk di kawasannya yang telah diwakili sejak 2013.

“Pastinya, pemergiannya satu kehilangan yang sangat besar kepada DAP dan rakyat khususnya di kawasan DUN Balakong,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Berhubung punca kemalangan berkenaan, Anthony berkata, pihaknya menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.

“Siasatan masih dijalankan oleh pihak polis, saya tidak mahu ulas lanjut,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi ini, Tien Chee berusia 40 tahun disahkan meninggal dunia selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail yang dipandunya melanggar bahagian belakang sebuah lori pencuci jalan milik syarikat konsesi lebuh raya berkenaan.

Mendiang difahamkan meninggal dunia di tempat kejadian. - UTUSAN ONLINE