Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 1 petang itu mengakibatkan sebuah lori muatan tiga tan terbabas dan terbalik sehingga merintangi semua lorong di lebuh raya itu.

Sebuah treler yang berada di belakang lori tersebut tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang lori itu menyebabkan berlaku kesesakan sepanjang kira-kira empat kilometer menghala ke utara.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad (PLUS) ketika dihubungi memaklumkan, tiada kecederaan atau kematian dilaporkan berikutan kemalangan itu.

Kemalangan berlaku kira-kira dua kilometer selepas susur masuk lebuh raya Ayer Keroh menghala ke Simpang Ampat dan trafik sesak selama dua jam kerana semua lorong terhalang.

"Bagaimanapun kedua-dua kenderaan telah dialihkan sepenuhnya dan laluan dibuka semula kira-kira pukul 3 petang,"  katanya ketika dihubungi di sini petang ini.

Difahamkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima laporan berhubung kemalangan itu untuk kerja-kerja menyelamat. - UTUSAN ONLINE