Ibu saudaranya, Zarina Shuib, 53, berkata, dia dan keluarga buntu kerana kehilangan Mohd. Haziq telah tersebar di negara itu namun walau bagaimanapun masih gagal ditemukan.

Katanya, ini termasuklah operasi pencarian yang dijalankan pihak berkuasa negara itu khususnya pihak polis daripada semasa ke semasa.

“Keluarga kami buntu kerana masih tiada sebarang khabar berita tentang Mohd. Haziq,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Zarina, bapa Mohd. Haziq iaitu Mohd. Tarmizi yang juga adiknya dilaporkan semakin sihat selepas menjalani dua pembedahan bagi mengeluarkan peluru.

“Mohd. Tarmizi kini sudah boleh makan dan semakin sihat, cuma sedikit runsing apabila mengingatkan Mohd. Haziq,” katanya lagi.

Dalam kejadian itu, umat Islam di Masjid Al-Noor, Hagley Park dan Masjid Linwood, New Zealand ditembak secara rambang.

Insiden tersebut menyebabkan 50 maut manakala 48 cedera parah setakat dilaporkan semalam.

Turut cedera tiga rakyat Malaysia termasuk Mohd. Tarmizi dan seorang lagi diklasifikasikan sebagai masih hilang. - UTUSAN ONLINE