Mohd. Gaddafi Mat Karim

Kata bapa Allahyarham, Mohd. Gaddafi Mat Karim, 43, anaknya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.05 petang semasa mereka sekeluarga sedang membaca surah Yasin di sisinya.

“Arwah merupakan anak yang baik dan saya sentiasa berdoa agar dia menjadi seorang yang soleh. Arwah juga sihat sebelum ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini hari ini.

Menurutnya yang merupakan bekas pemain bola sepak Selangor itu. jenazah akan dibawa pulang ke rumah keluarga di Felda Bukit Aping Timur, Kota Tinggi sebelum dikebumikan.

Sementara itu, ibu saudara Allahyarham, Dzuraidah Ahmad, 38, berkata, keluarganya akan meneruskan tindakan un­dang-undang jika kematian pelajar itu mempunyai kaitan dengan penderaan.

“Kami serahkan siasatan kepada pihak polis dan jika benar didapati dia didera kami akan ambil tindakan.

“Langkah ini di­buat bagi membela arwah kerana sebelum ini dia seorang kanak-kanak yang sihat dan tidak pernah dimasukkan ke hospital,” katanya.

Dzuraidah yang merupakan seorang usahawan itu turut memberitahu, mereka sekeluarga amat rapat dengan arwah kerana kerap bertemu terutama ketika cuti persekolahan.

“Ketika itu, dia memberi­tahu seronok mengikuti pe­ngajian al-Quran di madrasah tersebut sambil membacakan surah Yasin dan al-Mulk kepada kami.

“Kami amat bangga kerana arwah berjaya menghafal ayat-ayat tersebut,” katanya sambil memberitahu Mohamad Thaqif Amin merupakan ahli keluarga mereka yang pertama memasuki pusat pengajian tahfiz.