Kakak Allahyarham, Nik Noorliliwati, 44, berkata, khabar tersebut menyebabkan mereka sekeluarga bertekad untuk menuntut keadilan dan akan memastikan pelaku mendapat pembalasan setimpal.


“Kami tergamam mendengar pengumuman itu kerana tidak menyangka adik didera sehingga mati hanya kerana dikenakan tindakan tatatertib. Apa yang adik saya buat sehingga dia dan rakannya didera hingga mati?


“Keluarga kami tidak akan berdiam diri dan membiarkan perkara ini begitu sahaja. Keadilan untuk arwah akan dituntut,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri pengebumian Allahyarham Nik Mohd. Baihaqy di Tanah Perkuburan Limbat, di sini hari ini.


Sementara itu, adik ipar mangsa, Luqman Hakim, 27, berkata, walau apa pun kesalahan dilakukan arwah dan rakan, kejadian menimpa mereka tidak sepatutnya berlaku jika pelaku ada sifat perikemanusiaan.


Katanya, keadilan harus dituntut demi anak-anak arwah yang masih kecil iaitu Nik Adam Mikail, 4; Nik Aisyah Azzahrah, 2 dan Nik Anas Naufal, 10 bulan.


“Buat masa ini, kami sekeluarga akan tunggu siasatan penuh pihak polis selesai terlebih dahulu sebelum memikirkan langkah seterusnya,” katanya. 


Nik Mohd. Baihaqy, 28, merupakan salah seorang daripada dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meninggal dunia ketika ditahan di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, petang Jumaat. 


Semalam, laporan bedah siasat mendapati kedua-dua mangsa maut akibat pendarahan paru-paru yang dipercayai berpunca daripada trauma tumpul sekali gus menyebabkan polis mengklasifikasi semula kes daripada kematian mengejut kepada kes bunuh. - UTUSAN ONLINE