M. Loganathan, 46, berkata, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains, Alam Sekitar dan Penerangan negeri, Dr. Abdul Aziz Bari tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana siasatan mengenai kes itu masih belum selesai.

Katanya, Abdul Aziz juga langsung tidak bertemu dengan ketiga-tiga murid terlibat serta ahli keluarga mereka untuk bertanyakan mengenai kejadian yang sebenar.

“Beliau hanya ke sekolah dan mendapatkan maklumat dari guru dan guru besar sedangkan anak kami yang tercedera akibat air panas menderita dan trauma akibat kejadian itu.

“Tidak sepatutnya beliau berkata demikian, sepatutnya beliau menghormati perasaan kami ibu bapa kanak-kanak tersebut,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis kedua bersama ibu-bapa murid-murid terlibat di Balai Polis Sungai Senam di sini hari ini.

Dalam kejadian Rabu lalu, anak Loganathan, L.Darshant, lapan tahun melecur teruk tahap dua dari leher hingga kaki sementara dua lagi rakan sekelasnya melecur 18 peratus dan empat peratus di bahagian anggota badan.

Semalam, Abdul Azizi berkata, siasatan mendapati kejadian tersebut bukan disebabkan kecuaian guru, sebaliknya lebih kepada kemalangan.

Katanya, siasatan mendapati tiasa sebarang pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dilakukan oleh pihak sekolah ketika sesi pembelajaran di makmal. - UTUSAN ONLINE