Menurut adik Mahadzir, Ida Lokman, abangnya masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Abang saya masih sedar, cuma beliau lambat memberi maklum balas pada rawatan yang diusahakan oleh doktor. Mohon semua pihak menghentikan penyebaran khabar angin kononnya beliau sudah meninggal dunia,” kata Ida kepada Utusan Online sebentar tadi.

Ida menegaskan, seluruh ahli keluarganya mengharapkan semua pihak khususnya kenalan Mahadzir agar mendoakan kesejahteraan kesihatannya.

“Janganlah sebar cerita bukan-bukan. Beri ruang kepada kami untuk bersama-sama melalui saat-saat yang sukar ini. Adalah lebih baik kita sama-sama mendoakan abang yang kami kasihi dan sayangi ini,” jelas Ida lagi.

Awal pagi semalam, pengacara berbakat besar itu dikejarkan ke PPUM selepas tidak sedarkan diri di kediamannya.

Mahadzir, 60, difahamkan berada keadaan kritikal tetapi stabil. - UTUSAN ONLINE