Perkara tersebut dimaklumkan oleh Mohd. Azmee selepas pihak JKM menghubunginya sebentar tadi yang memaklumkan bahawa bantuan bulanan sebanyak RM300 akan mula dimasukkan kepada keluarga yang tinggal di lorong Teja Enam, Taman RPA Arau di sini itu, bermula bulan depan.

Malah katanya, mereka juga bakal menerima bantuan bulanan tambahan sebanyak RM200 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sekali gus membantu meringankan beban mereka sekeluarga.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak JKM yang meluluskan bantuan itu. Selain itu, saya juga mengucapkan terima kasih kepada Utusan Malaysia dan pihak media yang menyiarkan kisah saya ini," katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Utusan Online pada pagi ini melaporkan mengenai kesukaran keluarga tersebut terutama apabila anak bongsu mereka, Muhammad Aryyan Amsyar yang berusia setahun lima bulan disahkan menghidap ketumbuhan di bahagian kepala sejak November tahun lalu.

Ia sekali gus memerlukan kanak-kanak itu menjalani sesi kimoterapi pada setiap minggu di Pulau Pinang.

Dengan pendapatan bersih Mohd. Azmee yang bekerja sebagai pemandu di salah sebuah universiti di sini hanya RM1,100, bayangkan bagaimana kehidupan mereka yang turut mempunyai tanggungjawab untuk membesarkan dua orang lagi anak yang masing-masing berusia 10 dan sembilan tahun.

Sementara itu, Pengarah JKM negeri, Mohammad Hazam Ismail berkata, permohonan keluarga tersebut sebelum ini bukan ditolak sebaliknya masih di bawah status ‘Simpan Dalam Perhatian’ atau KIV disebabkan beberapa masalah seperti tiada akaun bank dan dokumen-dokumen sokongan perbelanjaan.

Katanya, disebabkan pendapatan penama melebihi Purata Garis Kemiskinan (PGK), maka ia memerlukan dokumen sokongan perbelanjaan untuk penjelasan semakan audit.

"Demi kesejahteraan penama (Mohd. Azmee) berdasarkan kelayakan, telah diluluskan bantuan am sebanyak RM300 sebulan bermula bulan depan sehingga April 2021. Penama akan menerima bantuan tambahan RM200 sebulan daripada MAIPS.

"Walaupun pendapatan isu rumah penama sebanyak RM2,023 sebulan namun perbelanjaan bulanan sebanyak RM2,798 melebihi pendapatan dengan ketara sebanyak RM775 sebulan. Penama terpaksa menggunakan wang simpanan yang terhad bagi digunakan untuk merawat anaknya yang sakit dan memerlukan rawatan kimoterapi di Hospital Pulau Pinang," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh, Roziena Ahmad turut meluang masa melawat keluarga tersebut serta menyampaikan bantuan. - UTUSAN ONLINE