Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Nur berkata, kejadian tersebut dimanipulasi segelintir pihak sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen dalam media sosial.

Nur mendakwa, selepas kejadian itu mangsa yang merupakan anak kedua daripada empat beradik trauma dan tidak ceria seperti dahulu.

“Kami hanya tahu suspek menghidap autisme ketika tiba di balai polis, namun ahli keluarganya terus menerus mengecam kononnya kami tidak prihatin dengan nasib anak mereka yang menghidap penyakit tersebut.

“Kami faham keadaan suspek, tapi apa yang berlaku bukanlah sesuatu mudah untuk diterima, ibu bapa tersebut biarkan anak mereka berkeliaran tanpa pengawasan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya lagi, pihaknya masih menunggu laporan daripada hospital berhubung trauma dihadapi anaknya.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, tangkapan ke atas lelaki berusia 22 tahun itu dilakukan mengikut prosedur biasa polis.

Ujarnya, tangkapan dibuat ekoran pengecaman positif mangsa bersama saksi kejadian bagi tujuan siasatan serta keadilan kepada kedua-dua pihak. - UTUSAN ONLINE