Nik Mohd. Baihaqy Nik Mat
Allahyarham Nik Mohd. Baihaqy bersama isteri, Nor Bazlin Mohammad dan anaknya Nik Anas Naufal. - GAMBAR FAIL

Kakak sulung Allahyarham, Nik Noorliliwati, 44, berkata, ini kerana tindakan pelaku yang mendera adiknya sehingga menyebabkan kematian sangat tidak berperikemanusiaan.

"Kami sekeluarga reda dengan pemergian Nik Mohd. Baihaqy namun pelaku terbabit perlu mendapat pembalasan setimpal di atas tindakan kejam itu," katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Semalam, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee memaklumkan, Nik Mohd. Baihaqy dan seorang lagi anggota, Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26, yang meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, di Ipoh dipercayai didera.

Berikutan itu, polis mengklasifikasikan kematian tersebut sebagai kes bunuh berdasarkan laporan bedah siasat daripada Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Tambah Nik Noorliliwati, dia sendiri tidak faham mengapa perlu ada unsur penderaan fizikal terhadap mereka yang ditempatkan dalam bilik tahanan tersebut.

Katanya, kebanyakan adik-beradiknya yang bertugas di dalam tentera darat sebelum ini memaklumkan bahawa anggota yang membuat kesalahan hanya dikurung sahaja tidak melibatkan unsur serangan fizikal.

"Mengapa perlu sehingga tahap melakukan penderaan. Tindakan seperti itu sangat tidak boleh diterima," katanya.

Sementara itu, dia memberitahu, ahli keluarga khususnya isteri Allhahyarham, Noor Bazlin Mohammad, 28, dan tiga anak mereka dilihat sudah boleh menerima dan reda dengan kejadian yang berlaku itu. - UTUSAN ONLINE