Demikian rintihan Intan Nursyafinaz Roslan, 18, terhadap kejadian menimpa adiknya, Intan Nursyahira, 13, yang dilaporkan hilang selepas keluar rumah di Taman Rambai, Parit Buaya, di sini kira-kira pukul 5 petang, Jumaat lalu.

Menurutnya, kehilangan adik bongsunya itu hanya disedari sebaik ibu mereka, Noraini Abd. Rahman, 44, menerima panggilan daripada rakan sekelas mang­sa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Abong kerana pelik Intan Nursyahira tidak muncul seperti dijanjikan.

“Pada hari kejadian, adik sepatutnya bertemu rakan sekolahnya yang dikenali sebagai Iffah tidak jauh dari rumah kami bagi melakukan kerja sekolah, tetapi rakannya menelefon ibu bertanyakan mengenai adik yang tidak muncul pada waktu dijanjikan mereka di Kampung Parit Buaya sehingga menyebabkan ibu panik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Intan Nursyafinaz membe­ritahu, ibu menelefon mereka untuk memberitahu perkara itu dan tidak pasti pakaian yang dipakai adiknya itu, namun dipercayai membawa beg sandang, buku sekolah dan duit serta menaiki motosikal jenis SYM berwarna hitam.

“Adik keluar rumah ketika ibu sedang berada dalam bilik air manakala kakak pula berada dalam biliknya dan saya serta ayah sudah keluar bekerja sejak pagi.

“Kami sudah berusaha pelbagai cara termasuk meronda di sekitar taman dan kampung berdekatan tetapi masih belum ada perkembangan positif,” katanya sambil memberitahu keluarga sudah membuat laporan di Balai Polis Sungai Abong, malam tadi.

Intan Nursyafinaz berkata, adiknya berkulit cerah dan mempunyai ketinggian kira-kira 150 sentimeter.

Justeru, dia meminta kerjasama orang ramai yang mempu­nyai maklumat mengenai adik­nya supaya menghubungi pihak polis dengan segera.