Lebih menggembirakan apabila emas tersebut yang diraih anak jati Batu Pahat, Norhafizi Abd. Razak dan rakan sepasukannya hadir selepas kemarau 24 tahun dalam acara itu sejak edisi di Hiroshima, Jepun pada 1994.

Abd. Razak Ahmad, 57, berkata, mereka sekeluarga amat memberi galakan dan sokongan moral kepada pengumpan negara itu sepanjang latihan dan persiapan menjelang Sukan Asia.

“Biarpun dia tak beraksi masa perlawanan akhir semalam tapi dia tetap membantu pasukan untuk mara ke perlawanan akhir kerana perlawanan peringkat awal dan separuh akhir dia beraksi,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini, sebentar tadi.

Semalam, skuad regu negara mengakhiri kemarau pingat emas selepas menumpaskan Indonesia di hadapan ribuan penyokong tuan rumah di Kompleks Sukan Jakabaring.

Bagi ibu Norhafizi, Jamilah Ahmad, 52, kejayaan anak keduanya itu amat membanggakan ‘keluarga takrawnya’ apabila enam anak lelakinya yang lain turut aktif dalam sukan itu termasuk Abd. Razak.

“Saya bertambah sebak apabila melihat dia dalam televisyen semalam, menitiskan air matanya sebaik kemenangan dipastikan milik Malaysia kerana itulah cita-citanya sejak kecil yang mahu mewakili negara di peringkat Sukan Asia,” katanya. - UTUSAN ONLINE