Noor Bazlin Mohammad, 28, berkata, ini kerana dia merasa hairan berikutan kematian Nik Mohd. Baihaqy dan seorang lagi anggota berlaku secara serentak sedangkan suaminya itu tidak mempunyai sebarang penyakit atau masalah kesihatan lain.

“Yang jadi persoalan sekarang, bagaimana suami saya boleh sesak nafas serentak dengan seorang lagi anggota pada masa sama?

“Apakah kedua-dua mere­ka mempunyai stamina yang sama? Suami saya sihat. Macam mana boleh jadi begitu?” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik, Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Noor Bazlin yang bertugas sebagai jururawat di Klinik Kesihatan Datuk Keramat, Kuala Lumpur memberitahu, kali terakhir dia berhubung dengan suaminya ketika menerima panggilan daripada seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada malam Rabu lalu.

Ujarnya, pegawai tersebut memaklumkan suaminya akan ditahan di Sungai Wangi, Lumut atas kesalahan lewat hadir ke tempat kerja buat kali kedua.

“Selepas mendapat tahu perkara itu, saya berasa amat risau dan tidak sampai tiga hari dia ditahan, saya mendapat berita pemergiannya. Saya betul-betul terkejut,” katanya dalam nada sebak.

Ujar Noor Bazlin, dia dan Nik Mohd. Baihaqy merancang membuka perniagaan selepas suaminya itu meletakkan jawatan sebaik sahaja selesai tempoh tahanan tersebut.

“Suami pernah beritahu nak berhenti kerja selepas tamat tempoh tahanan kerana dia tertekan dengan bebanan tugas,” katanya.

Tambah ibu kepada tiga orang anak berusia 10 bulan hingga empat tahun itu, suaminya yang telah berkhidmat selama sembilan tahun bersama TLDM akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Limbat, Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan bersebelahan kubur bapanya yang meninggal dunia dua bulan lalu.

Semalam, Nik Mohd Baihaqy dan Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan dekat sini ketika menjalani latihan fizikal di kem berkenaan.

Semasa menjalani latihan itu, mereka mengadu kepenatan dan direhatkan selepas mengalami muntah serta sesak nafas sebelum kedua-dua mereka disahkan me­ninggal dunia oleh petugas paramedik yang tiba pada pukul 3.15 petang.