Menurut Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah, tindakan tersebut adalah sebagai membantah tindakan kerajaan yang dilihat tidak mengikut peraturan dewan dalam perlantikan tersebut seperti yang ditetapkan dalam Subperaturan Mesyuarat 4 (1) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Jelas beliau, pematuhan kepada peraturan amat penting bagi menghormati Parlimen yang mana dalam soal ini, gagal dilakukan Kerajaan PH mengikut bukti yang ada.

“Subperaturan Mesyuarat menyebut, tiap-tiap ahli yang hendak mencadangkan nama seorang ahli Dewan itu atau seorang yang layak dipilih menjadi ahli Dewan itu yang hendak dipilih jadi Tuan Yang di-Pertua, hendaklah mempastikan terlebih dahulu iaitu ahli itu suka berkhidmat jika ia dipilih, dan juga hendaklah memberitahu kepada Setiausaha dengan bersurat sekurang-kurangnya empat belas hari sebelum mesyuarat.

“UMNO melihat pelanggaran peraturan telah berlaku dan sebelum undian dijalankan telah meminta pihak kerajaan memberikan penjelasan berasaskan peraturan,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Jelas beliau, pembangkang melalui Ketua Whip PAS, Datuk Takiyuddin Hassan telah bangun meminta penjelasan Setiausaha Dewan berkenaan pematuhan Peraturan Mesyuarat namun permintaan itu tidak diendahkan.

Tambah beliau, tindakan UMNO dan rakan-rakan pembangkangnya meninggalkan dewan adalah bertujuan untuk memberi mesej bahawa Kerajaan PH telah melanggar Undang-undang dan Peraturan Dewan Rakyat.

Kata beliau, UMNO kesal kerana Kerajaan PH tetap memulakan sidang dengan melanggar peraturan dan undang-undang Dewan Rakyat seperti yang telah dinyatakan. - UTUSAN ONLINE