Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur (amp) Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim bagaimanapun berkata, kekeliruan itu adalah perkara awal yang diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri dan pihaknya sedang mengambil langkah terbaik menyelesaikan isu terbabit.


"Sebagai contoh, longkang di kiri dan kanan jalan adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR), namun terdapat kekeliruan (penyelenggaran) apabila berlaku di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT). Ini menyebabkan ada longkang akhirnya tidak diselenggara.


"Kita telah kenal pasti apakah langkah yang boleh diambil dan kita sediakan inventori di jabatan terlibat. Kita juga telah bermesyuarat untuk pastikan di setiap daerah, semua infrastruktur ada tuan punya dan diselenggara mengikut indeks penunjuk prestasi," katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini. 


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Dr Idris Ahmad (PKR-Ijok) mengenai tanggungjawab agensi yang sepatutnya menyelenggara sistem perparitan kerana banyak berlakunya banjir semasa musim hujan.

Tambah Izham (Amanah-Pandan Indah), masalah banjir bukan semata-mata berpunca daripada isu penyelenggaraan sungai dan longkang namun ia turut dipengaruhi oleh taburan hujan yang kadangkala luar biasa banyak sehingga tidak mampu ditanggung oleh infrastruktur sedia ada.


Jelas beliau, hasil pemantauan pihaknya turut mendapati lokasi tumpuan banjir terutama banjir kilat sering berubah menyebabkan Kerajaan Negeri perlu memberi tumpuan khusus kepada kawasan yang kerap dilanda bencana itu terlebih dahulu untuk diambil tindakan sewajarnya.


Pada 12 Nov lepas, Ketua Unit Pengurusan Bencana Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata Kerajaan Negeri sudah mengenalpasti 142 kawasan yang berpotensi mengalami masalah banjir kilat akibat fenomena Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berakhir Mac tahun hadapan.


Ahmad Fairuz berkata daripada jumlah kawasan itu juga, sebanyak 225 kejadian banjir kilat dijangka berlaku di kawasan terbabit sepanjang tempoh berkenaan dan antara daerah yang dijangka mengalami masalah banjir kilat yang banyak ialah sekitar Petaling, Sabak Bernam dan Hulu Langat. - BERNAMA