Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, pelantikan beliau jelas membuktikan bahawa anak jati Sabah mempunyai keupayaan dan kebolehan selain mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Pusat terutama Kementerian Pendidikan Tinggi.

Menurutnya, kerajaan negeri merakamkan ucapan tahniah kepada Dr. D Kamaruddin atas pelantikan itu.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. atas kepercayaan yang diberikan.

“Saya juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas sokongan dan keprihatinan yang dibangkitkan berkaitan pelantikan jawatan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Bahagian Perhubungan Korporat Jabatan Canselori UMS dalam kenyataan, D. Kamarudin, 49, dilantik sebagai Naib Canselor UMS ke-5 berkuat kuasa 18 Jun ini.

Katanya, pelantikan itu sekali gus menjadikan Dr. D Kamarudin sebagai anak kelahiran Sabah ketiga memegang jawatan tertinggi univeristi itu selepas Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah dan Prof. Datuk Seri Dr. Kamaruzaman Ampon. - UTUSAN ONLINE