Terbaru, pencapaian Azizulhasni Awang merangkul gelaran juara dunia berbasikal acara keirin di Hong Kong cukup mengujakan.

Pada 10 Disember tahun lalu, pelawak Harith Iskander mengharumkan nama Malaysia setelah memenangi anugerah individu paling lucu di dunia (#LaughFactory’s Funniest Person in the World for 2016).

Gol ‘ajaib’ Mohd. Faiz Subri pula mengejutkan negara dengan menewaskan pemain bola sepak terbaik dunia Lionel Messi dan Neymar apabila merangkul Anugerah Puskas FIFA 2016 di Zurich, Switzerland, 9 Januari lalu.

Itu antara nama terbilang yang menggembirakan negara. Ramai lagi sebenarnya. Ia termasuklah dalam acara badminton (Datuk Lee Chong Wei), renang (Pandelela Rinong), motosikal dunia (Khairul Idham Pawi menjuarai Kejohanan Motosikal Dunia di Litar Termas De Rio Hondo, Argentina pada 3 April 2016).

Hakikatnya, semua pencapaian ini tidak akan terjadi seandainya negara kacau-bilau dan tergugat ekonominya.

Itu antara secebis pencapaian Malaysia yang sebenarnya jauh lebih besar menerusi pengiktirafan dunia yang pelbagai. Antaranya juga kedatangan pelabur berimpak tinggi dari China, Perancis, India dan Arab Saudi.

Bukankah ini semua berkait rapat dengan kestabilan politik yang dijana pemerintahnya, Barisan Nasional (BN) ditunjangi UMNO.

Kalau dilihat dalam tempoh 10 tahun, bermula 1946 UMNO dilahirkan, jangka masa 10 tahun kemudian pada 1956 adalah detik sukar menggapai kemerdekaan (1957), 1966 (kepemimpinan Tunku Abdul Rahman mula dipersoalkan), 1976 (Tun Abdul Razak meninggal dunia, peralihan kepemimpinan ke Tun Hussein Onn), 1986 (detik persaingan sengit perebutan jawatan Presiden 1987 sehingga UMNO diharamkan).

Demikian juga 1996 yang dikaitkan dengan gerakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membawa pemecatannya pada 1998 dan sehinggalah hari ini (2016) bermula gerakan parti-parti dan Pakatan Harapan untuk menumbangkan BN.

UMNO masih parti terbaik dalam agenda membela bangsa, agama dan negara. Tidak ada parti tiruan, UMNO tidak boleh dipalsukan.

Kemakmuran Malaysia bukan datang secara tiba-tiba.